twitter
rss

      Matematik ialah satu cara yang membolehkan manusia mendapat kuantiti atau nilai berapa banyak, berapa cepat, berapa panjang, berapa luas, berapa ruang dan sebagainya.

      Di samping itu, ia adalah suatu badan ilmu yang amat berguna kepada saintis fizik dan sosial, ahli falsafah, ahli logik dan artis. Oleh itu, matematik, di samping menjadi alat dalam kehidupan untuk menyelesaikan masalah harian, membolehkan manusia mengkaji pola, mengkaji masalah sosial, mereka bentuk yang menarik dan seimbang, serta menjadi alat yang berguna untuk membantu sains mencari kebenaran yang berkaitan dengan fenomena fizikal di alam sekeliling.

      Matematik adalah berkaitan rapat dengan kehidupan manusia. Kebanyakan perkara atau peristiwa yang berlaku setiap hari adalah tidak dapat terpisah daripada matematik. Kita menggunakan matematik untuk aktiviti urusniaga, perjalanan, makanan, pembelajaran, rancangan, membuat kerja, sehingga hampir setiap aktiviti sosial manusia ada hubungan dengan matematik.

    Sebuah negara yang maju bergantung kepada perkembangan matematik di dalam negara itu. Hanya rakyat yang dilatih dengan kemahiran matematik yang mendalam berupaya menjalankan tugas yang kompleks dengan cekap dan berkesan, khasnya dalam bidang kerja pengurusan dan pentadbiran, dan sanggup merancang dasar serta mengambil tindakan yang sistematik dan rasional.

       Kemajuan negara bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi serta perkembang perdagangan dan ekonomi yang berkaitan rapat dengan penggunaan matematik.

      Ringkas kata, perkembangan matematik dan menguasai kemahirannya menjadi asas kemajuan negara. Matematik menggalakkan manusia bertaakul dan berfikir secara sistematik dan rasional. Ia merupakan alat yang paling penting untuk mendorong perkembangan tamadun dalam bidang sains dan teknologi, sosial dan ekonomi serta meningkatkan tahap kecerdikan manusia.

       Pada asasnya, matematik merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang timbul daripada proses ketaakulan terhadap kejadian-kejadian alam sekeling dan cakerawala. Sehubungan ini, matematik menjadi suatu sistem logik yang menentukan rumusan-rumusan terdiri daripada bahasa matematik yang tersendiri seperti simbol-simbol, hukum-hukum dan operasi-operasinya.
   
      Berlandaskan daripada huraian ini, metematik menjadi suatu ilmu pengetahuan yang mengajar manusia berfikir secara logik mengikut bilangan dan jenisnya terhadap sesuatu masalah, sama ada konkrit atau abstrak. Dengan perkataan lain, matematik ialah suatu cara berfikir yang digunakan untuk mengembangkan hujah dan mencapai kesimpulan daripada kejadian-kejadian di bumi dan cakerawala.
    
        Di samping itu, matematik diertikan sebagai kajian pola. Banyak teorem geometri dan pola nombor adalah hasil kajian daripada bentuk-bentuk dengan menggunakan operasi-operasi matematik.
    
     Kadangkala, matematik merupakan suatu kajian perhubungan angkubah-angkubah yang dinyatakan dengan menggunakan rumus atau persamaannya atau dalam bentuk graf.
      
        Dari segi kehidupan, matematik menjadi satu alat yang berguna dalam kehidupan harian. Sebenarnya, matematik adalah dilahirkan daripada kehendak dan keperluan menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian.
     
       Ringkas kata, matematik boleh diertikan sebagai satu cara berfikir, kajian pola, kajian perhubungan, satu seni dan bahasa yang tersendiri, satu alat dalam kehidupan sosial dan rekreasi manusia.


       Matematik mengandungi dua unsur yang utama, iaitu simbolnya (seperti nombor, titik garisan, bentuk dan bahasa Matematik yang lain) serta prinsip, hukum, teorem dan peraturan-peraturan Matematik digunakan untuk menjalankan operasinya. Dengan perkataan lain, Matematik boleh diertikan sebagai satu cara yang sistematik yang membolehkan manusia mengetahui kuantiti dan nilai seperti saiz, laju, hala dan benda-benda di bumi atau di cekerawala.
Matematik bermula dari pengiraan bilangan. Orang zaman purba mengukur atau menghiris lambang, garisan atau gambar pada dinding gua, ranting-ranting dan batang pokok untuk merekod bilangan harta benda termasuk binatang ternakan mereka.
      

        Pada zaman purba itu, matematik lahirlah daripada penciptaan lambang-lambang untuk mewakili bilangan. Selanjutnya, matematik dikembangkan oleh tokoh-tokoh matematik dan ahli falsafah, khasnya pada zaman tamadun kuno di negara Yunani, dengan cara memerhatikan pola-pola dan sistem bentuk alam sekeliling dan cekerawala.

       Mereka menggunakan proses taakulan induktif dan deduktif, kemudian menghasilkan berbagai-bagai teorem geometri yang dihasilkan daripada perkara-perkara yang sebenar, ahli-ahli falsafah pada zaman tamadun Yunani itu memandangkan matematik sebagai satu cabangan ilmu pengetahuan yang mengandungi unsur fakta dan kebenaran.

       Pada masa kini, matematik telah berkembang ke tahap yang kompleks sehinggakan pergertian matematik telah mempunyai pelbagai tafsiran.