twitter
rss

      Matematik ialah satu cara yang membolehkan manusia mendapat kuantiti atau nilai berapa banyak, berapa cepat, berapa panjang, berapa luas, berapa ruang dan sebagainya.

      Di samping itu, ia adalah suatu badan ilmu yang amat berguna kepada saintis fizik dan sosial, ahli falsafah, ahli logik dan artis. Oleh itu, matematik, di samping menjadi alat dalam kehidupan untuk menyelesaikan masalah harian, membolehkan manusia mengkaji pola, mengkaji masalah sosial, mereka bentuk yang menarik dan seimbang, serta menjadi alat yang berguna untuk membantu sains mencari kebenaran yang berkaitan dengan fenomena fizikal di alam sekeliling.

      Matematik adalah berkaitan rapat dengan kehidupan manusia. Kebanyakan perkara atau peristiwa yang berlaku setiap hari adalah tidak dapat terpisah daripada matematik. Kita menggunakan matematik untuk aktiviti urusniaga, perjalanan, makanan, pembelajaran, rancangan, membuat kerja, sehingga hampir setiap aktiviti sosial manusia ada hubungan dengan matematik.

    Sebuah negara yang maju bergantung kepada perkembangan matematik di dalam negara itu. Hanya rakyat yang dilatih dengan kemahiran matematik yang mendalam berupaya menjalankan tugas yang kompleks dengan cekap dan berkesan, khasnya dalam bidang kerja pengurusan dan pentadbiran, dan sanggup merancang dasar serta mengambil tindakan yang sistematik dan rasional.

       Kemajuan negara bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi serta perkembang perdagangan dan ekonomi yang berkaitan rapat dengan penggunaan matematik.

      Ringkas kata, perkembangan matematik dan menguasai kemahirannya menjadi asas kemajuan negara. Matematik menggalakkan manusia bertaakul dan berfikir secara sistematik dan rasional. Ia merupakan alat yang paling penting untuk mendorong perkembangan tamadun dalam bidang sains dan teknologi, sosial dan ekonomi serta meningkatkan tahap kecerdikan manusia.

0 comments:

Post a Comment